Tuesday, March 31, 2009

Malam Pertama....



Malam Pertama Itu Indah dan Asyik?

Apabila menyebut malam pertama, pasti semua orang akan terbayang satu malam yang penuh dengan keindahan dan kenikmatan. Nikmat duniawi yang tiada tara! Ya, satu malam di mana pasangan pengantin baru yang sah bergelar suami isteri setelah diijab qabulkan akan bersatu, beradu serta berpadu zahir dan batin. Malam penuh bahagia! Terus-terang, sebagai seorang anak muda di usia 25 tahun kini yang masih bujang, persepsi malam pertama yang sering berlegar-legar di ruang minda ialah malam tersebut pastinya merupakan satu malam yang segalanya adalah menyeronokkan, indah-indah, asyik-asyik dan nikmat-nikmat belaka!

Tetapi, pernahkah terbayang dan terlintas di benak fikiran kita satu malam lain yang juga dinamakan malam pertama, namun ianya bukanlah malam pertama perkahwinan?

Malam inilah yang menjadi isi kandungan email tersebut. Malam itu ialah MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!

Pernahkah engkau melihat kuburan?
Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan?
Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat?
Pernahkah engkau membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?
Sedarkah engkau bahawa kuburan itu dipersiapkan untukmu dan untuk orang-orang selain darimu?


Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?

Mati

“Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?”
Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama’ serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza.

“Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?”

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!

Air Mata Keinsafan


“Last Breath..”

Di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi’ bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut. Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat:

Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu).” (Surah Al-Mu’minun, ayat 99-100)

Kemudian ia menjawab sendiri; “Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi’..” Dan disebabkan hal tersebut, Rabi’ bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah!

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti?

Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya. “Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!”

Kewajipan

Justeru, bersamalah kita fikirkan MALAM PERTAMA ini dengan mata hati.. Semoga cahaya kesedaran bersarang di hati kita dan nur keinsafan melimpahi jiwa-jiwa kita. Semoga kita semua terlepas dari ‘azab kubur dan beroleh nikmat SyurgaNya di Akhirat kelak. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.


Sunday, March 15, 2009

JoM PakAt-PaKat Mai KonSert AmaL !!!!!!



ISIUKM dgn kerjasama NasyidFM Entertainment dan Aman Palestin Berhad akan menganjurkan Konsert Dimensi Kesenian Islam. Maklumat mengenai konsert adalah seperti di bawah :-

Lokasi : Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia ( DECTAR UKM )
Tarikh : 21 March 2009 / 24 Rabiul Awal 1430Hijrah
Masa : 8 Malam
Tiket : RM 6
Artis : Devotees, Far East, Inteam, Nice
Slogan : Keamanan Sejagat

Konsert ini diadakan bertujuan untuk mengutip dana yang akan disumbangkan kepada saudara seislam di Gaza, palestin.

Untuk pertanyaan lanjut dan untuk tempahan tiket anda boleh menghubungi :

Fikhry : ( 019 367 1003 )

Fauzana : ( 019 366 1089 )

Sebarang Sumbangan Untuk Tabung Gaza Palestin Boleh dibuat melalui :

Bank Islam : 12029010047880

Maybank : 562263010787


Antara Sebab Hati Tidak Tenteram

Hati yang tidak tenteram berpunca dengan adanya segumpal sifat-sifat mazmummah. Antara sifat-sifat mazmummah yang menghilangkan ketenangan di hati ialah :-

1) Cinta Dunia

Cinta kepada hal-hal duniawi merupakan 'neraka dunia' kerana dunia itu 'panas' akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah hal-hal ukhrawi (akhirat) itu sebagai pegangan teguh selamanya dan hal-hal duniawi sebagai pentas sementara. Bila mati cuma ada amalan, doa anak yang soleh atau solehah dan harta yang disedekahkan mengiringi kita di sana.


2) Tamak

Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan. Mereka yang tidak pernah puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak. Orang yang tamak selalu rugi


3) Kedekut

Sentiasa melihat orang lain mahu menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Sentiasa mengelak dari menderma dan berdalih dengan mengatakan ia tiada duit. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk


4) Riak

Allah tidak menyukai akan sifat riak, takabbur dengan apa yang kita ada. Mereka tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon-lakon di depan orang. Jika dia dipuji, dia akan gembira dan bermegah serta menjadi rajin bekerja tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan kerjanya.


5) Pemarah


Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati senantiasa tidak tenang.


6) Ego

Senantiasa merasakan dirinya sahaja yang betul. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. Mereka tidak akan mengalah sekali-kali, jadi mereka senantiasa akan berada dalam keadaan tidak tenang dan tenteram hatinya


7) Pendendam

Perasaan yang membuku dan mengelapkan hati terhadap seseorang oleh kerana dia pernah melukakan atau malakukan kesalahan kepadanya ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk meletuskan laharnya iaini membalas dendam kepada orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.


8) Hasad Dengki

Mereka senantiasa berasa iri hati dan berhasad dengki kerana tidak mahu melihat kebahagiaan dan kejayaan orang lain.


9) Tidak Sabar


Tidak boleh menunggu dan sentiasa mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan orang lain. Selalu tergesa-gesa dalam membuat keputusan tanpa berfikir panjang sehingga kadang kalanya menyusahkan orang lain.


Pengajaran
di sini bermujahadahlah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. Sama-samalah kita sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain, andai kita terleka dengan dunia buruklah padahnya. Wallahualam bissawab.